ARTIS-ARTIS KITA

Edry tepis tohmahan suntik hidung





JIKA dilihat dari segi penampilannya, Edry Abdul Halim masih berjaya mengekalkan ketampanannya biar umur kini sudah mencecah 37 tahun. Meraih populariti bersama KRU pada usia remajanya, Edry kini merupakan anggota kumpulan Mojo.

Edry pernah mengulas tentang pertanyaan media sebelum ini tentang wajahnya yang kelihatan cengkung dan kurus. Dia memberi alasan bahawa perubahan wajahnya itu berlaku seiring pertambahan usia.

Bagaimanapun, sebelum ini timbul desas-desus di internet yang mendakwa Edry melakukan sesuatu pada wajahnya terutama membabitkan bahagian hidung.

Bertemu dengan bapa kepada empat orang cahaya mata ketika sesi ramah mesra bersama media Liga Juara Hot FM - 100 Plus di Restoran Fullhouse Kuala Lumpur semalam, Kosmo! mendapatkan kenyataan balas daripada Edry berhubung perkara itu.

Kosmo!: Timbul spekulasi Edry telah mencucuk hidung untuk kekal kelihatan muda. Adakah perkara tersebut benar?

EDRY: Jelas sekali kenyataan itu tidak benar dan saya tidak pernah dan tidak terfikir untuk melakukannya (suntikan hidung). Saya tidak akan melayan tuduhan tidak berasas seperti ini.

Bagaimanakah Edry melihat dakwaan sebegini dan adakah ia mencalar maruah Edry sebagai seorang individu terkenal dalam industri?

Orang ramai boleh menilai saya dan siapa saya pada hari ini. Saya tidak merasakan ada perbezaan jika timbul tuduhan sebegini dan tiada apa yang perlu saya sembunyikan. Kalau saya tidak melakukannya, tiada apa yang perlu saya cakapkan. Malah, jika saya melakukan suntikan pada wajah pun tiada apa yang nak dimalukan.

Mungkinkah Edry mempunyai alasan lain yang lebih kukuh untuk menyokong kenyataan tersebut?

Corak kehidupan saya berbeza setiap hari dan saya melakukan senaman untuk kekal cergas, sihat dan nampak muda.

Edry akan terbabit sama dalam Liga Juara Hot FM - 100 Plus sepanjang bulan April ini. Apakah peranan Edry sebagai selebriti sempena acara tersebut?

Saya akan turun padang untuk berlawan futsal bersama penyampai radio Hot FM, bintang bola sepak tanah air dan peminat di tiga buah lokasi iaitu Kuala Terengganu, Kota Bahru dan Shah Alam. Langkah ini saya rasakan terbaik untuk saya berinteraksi dengan peminat dan perasaan sangat teruja. Lagipun, sepanjang dua dekad KRU dalam industri, rasanya baru tiga kali kami berpeluang ke sana.

Filem 29 Februari kurang mendapat sambutan dalam kalangan penonton tempatan. Adakah Edry berputus asa untuk mencuba formula yang sama untuk filem akan datang?

KRU Studios mempunyai banyak filem dalam tangan untuk ditayangkan antaranya Vikingdom, Ular, Malaysia Masuk World Cup dan Hantu Tok Mudim dan kesemuanya berbeza dari segi genre dan jalan cerita.

Sudah pasti kita mahu ke depan dan menjadi lebih baik tapi adakalanya kita perlu toleh ke belakang dan perlu mengikut rentak pasaran semasa.

Mungkin saya telah menghasilkan filem yang bukan penonton mahu tengok tapi saya tidak berminat untuk menghasilkan filem ringan untuk menjaga maruah dan label syarikat yang telah dibina.

Saya masih menunggu masa yang sesuai untuk filem-filem itu ditayangkan dan sesuai dengan tahap intelektual serta apresiasi penonton.

Sumber : Kosmo Online



EMELDA TUTUP MULUT


MASIH menyembunyikan identiti dan gambar anak angkatnya, Edra Rafael yang kini memasuki usia dua tahun, Emelda tetap dengan pendiriannya sampai sekarang.

Kata Emelda atau nama sebenarnya Emelda Rosmila Abdul Hamid, 33, kehidupannya sebagai seorang ibu, pelakon dan pelajar separuh masa kini dilimpahi keceriaan setiap hari.

"Saya minta maaf, buat masa sekarang saya belum bersedia untuk menceritakan atau mendedahkan anak angkat saya kerana takut perkara yang tidak diingini berlaku kepadanya kalau saya berbuat demikian.

"Harap semua pihak menghormati keputusan saya kali ini," ujar Emelda atau mesra disapa Mel yang ditemui ketika tayangan perdana filem Sembunyi: Amukan Azazil di Cathay Cineleisure e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Mahu anak

Emelda menegaskan, dia bukan seperti artis lain yang perlu berkongsi semua cerita peribadi dan tidak merasakan adalah perlu untuk mendedahkan identiti anak angkatnya.

"Biarlah anak saya membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain kerana dia juga berhak untuk hidup sedemikian," ujar Emelda yang mahu mengunci mulut daripada membicarakan soal anak.

Sebelum ini, Emelda dan suaminya, Adlin Aman Ramlie pernah membawa anak angkatnya yang ketika itu berusia lima bulan sekitar Ogos tahun 2011 ke majlis akikah cucu penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman namun mereka enggan disiarkan gambar mereka bersama.

Dalam pada itu, katanya dia dan suami masih berusaha untuk memiliki zuriat sendiri dan tidak putus-putus berdoa.

"Saya tidak pernah putus asa, setiap hari kami mencuba dan berdoa supaya dikurniakan cahaya mata. Buat masa sekarang belum ada rezeki lagi dan kami menunggu rezeki dari Allah.

"Kami tidak merancang dan dalam masa sama kami turut menjalani rawatan di hospital atas nasihat doktor untuk memudahkan saya hamil.

"Tapi entah kenapa sampai sekarang belum dikurniakan cahaya mata, mungkin Tuhan mahu kami bermanja-manja dan bercinta terlebih dahulu," tambahnya. yang mengahwini Adlin pada 22 Mei 2009 di Ipoh, Perak.



Pengajian tahun akhir

Sementara itu, Emelda tidak lokek untuk berkongsi kehidupannya bergelar pelajar yang sudah hampir bergraduasi tidak lama lagi.

Emelda kini sedang mengikuti pengajian tahun akhir dalam bidang Ijazah Komunikasi di kampus luar Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Tidak susah untuk membahagikan masa untuk rumah tangga, karier dan pelajaran kerana saya bukan pelajar sepenuh masa. Insya-Allah bulan Oktober ini saya akan menamatkan pengajian saya.

"Jadi, selain waktu kuliah itu saya gunakan untuk berlakon dan uruskan keluarga," ujar lulusan Diploma Senireka Grafik itu.

Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu juga berkongsi pengalamannya berlakon dalam produksi Sembunyi: Amukan Azazil yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 28 Mac nanti.

Emelda melakonkan watak Melur, seorang wanita kampung yang bertukar sifatnya apabila terlalu dikongkong oleh suaminya, Atan (lakonan Sharnaaz Ahmad).

"Suami saya dalam filem ini sangat garang dan Melur merupakan seorang isteri yang akur dengan arahan suami. Berlakon dalam filem ini banyak cabarannya terutama apabila penggambaran dilakukan di dalam hutan pada bulan Ramadan.

"Tambah memenatkan apabila penggambaran tamat beberapa hari sebelum Hari Raya Puasa dan menerusi filem ini saya perlu menari dan menyanyi," ujar Emelda yang pertama kali digandingkan bersama Sharnaaz.

Sumber : Kosmo Online




Gambar Terkini Irma Hasmie Sarat Mengandung 9 Bulan...19 Mac 2013










sumber : http://ohartis.com/



SAYA MAAFKAN DIA..18 MAC 2013



AMPANG: “Saya sedia memaafkannya namun dalam masa sama berharap dia bertaubat atas kesalahannya,” kata pelakon baru, Carmen Chew Richy, 22, yang memaafkan pengarah drama, Rashid Ahmad, 38 atau Rashid San berhubung insiden dikirim mesej berbaur seks, minggu lalu.
Carmen berkata demikian selepas menerima permohonan maaf terbuka daripada Rashid di pejabat Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), di sini, kelmarin, berhubung konflik antara kedua-dua mereka. Menerusi Harian Metro 9 Mac lalu, Carmen mendakwa pengarah itu bertindak di luar batasan sejurus mengirimkan mesej seks kepadanya Januari lalu selain turut dipukul, ditampar dan tidak dibayar gaji.

Rashid bagaimanapun tampil menafikan dakwaan melainkan mengakui mengirimkan mesej berbaur seks bertujuan menyedarkan Carmen disebabkan pelakon itu tidak membayar sewa rumah di Setapak menyebabkan pemilik rumah mencarinya.

Selain itu, punca Rashid berbuat demikian kerana Carmen enggan menjalani penggambaran sebuah video muzik biarpun sudah menerima bayaran RM1,500 dan sebuah telefon bimbit.
Dalam majlis ringkas itu, Rashid menyatakan permohonan maaf dan disaksikan Pengerusi Biro Aduan dan Undang-undang Seniman Zahrin Ishak serta Pengerusi Biro Perpaduan S Subash.
Menurut Carmen, dia enggan mengulas lanjut kes terbabit namun memaafkan Rashid dan berharap pengarah itu tidak mengulangi kesilapannya.
Rashid berkata, dia kesal tindakannya mengirimkan mesej terbabit dan memohon maaf kepada Carmen.
"Saya beranggapan ianya hanya salah faham dan perlu diselesaikan secara baik tanpa membabitkan tuduhan melulu. Tambahan pula saya tidak mahu orang mengenali saya kerana kontroversi," katanya.
Menurut Rashid, dalam masa sama dia mendoakan kesejahteraan Carmen dan berharap pelakon itu melebarkan sayap dalam bidang lakonan.
"Saya akui kesalahan mengirimkan mesej berbaur seks namun tindakan itu bersebab. Semoga permohonan maaf ini menyelesaikan segala-galanya," katanya menyifatkan putaran dunia industri di Malaysia tidak ke mana sekiranya mengambil kira faktor kontroversi.
Sementara itu, Zahrin berkata, selepas mengadakan perbincangan di antara kedua-dua pihak, Seniman menyifatkan masalah itu tidak perlu dipanjangkan dan mencadangkan majlis memohon maaf diadakan.
"Kami (Seniman) menganggap konflik mereka sudah selesai," katanya.

Sumber- Harian Metro






EINA HAMPIR KENA PERKOSA..TAWAR NAK 'BELA' 3 TAHUN



“Sebaliknya, dia berkata mahu membela saya selama tiga tahun dan memberikan apa saja, selain melakukan gangguan seksual ke atas saya,” kata pelakon remaja, Eina Azman, 18 mengenai tindakan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ke atasnya.

Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman berkata, kejadian di hotel itu berlaku kira-kira jam 11 malam 8 Februari lalu, dua hari selepas dia membuat laporan polis ke atas ahli perniagaan terbabit kerana didakwa menipu. Pelakon itu yang memegang watak utama dalam drama bersiri Mimpi Cinderella dan filem Ratu, berkata sebelum itu dia hanya berurusan dengan isteri ahli perniagaan terbabit untuk membeli sebuah kereta Mercedes berharga lebih RM220,00.
“Apabila dia berkata mahu membela saya selama tiga tahun dan memberikan apa saja, saya sangat sedih kerana saya ada maruah dan masih ada ibu bapa. Apa yang dilakukannya saya tidak boleh terima,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, untuk membeli kereta idamannya itu dia sudah membayar RM175,500 menerusi empat transaksi dan menjelaskan duti cukai, tetapi kereta yang dijanjikan masih belum diterima.

sumber: harian metro



ZIZAN MAHU KAHWIN TAHUN DEPAN???



SETAKAT ini pencapaian pelakon dan pelawak Mohd. Razizan Abdul Razak atau Zizan dalam bidang seni cukup membanggakan dengan pelbagai rentetan kejayaan yang telah diraihnya.

Bakal mencecah usia 29 tahun pada 15 April ini, pastinya ramai peminat yang tertanya-tanya bilakah artis kegemaran mereka ini bakal menamatkan zaman bujang setelah pernah digosipkan dengan beberapa artis seperti Juliana Evans dan Nora Danish.

Ikuti temu bual bersama Zizan yang ditemui pada majlis bertemu peminat yang diadakan Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Seorang wanita yang sungguh istimewa di hati Zizan menemaninya pada majlis tersebut – tidak lain dan tidak bukan ibunya, Anai Ibrahim.

Kosmo!: Tidak lama lagi usia Zizan sudah menjangkau 29 tahun. Adakah anda tidak pernah terfikir mahu mendirikan rumah tangga?

ZIZAN: Bukan tidak pernah terfikir ke arah itu, cuma buat masa ini saya lebih selesa untuk menumpukan sepenuh masa kepada kerjaya. Apatah lagi dengan jadual yang agak padat membuatkan saya kurang mengambil berat tentang perkahwinan.

Adakah Zizan meletakkan sebarang sasaran untuk berkahwin dalam tempoh tertentu?

Secara terus terang saya mahu berkahwin pada tahun hadapan apabila usia saya menjangkau 30 tahun. Bagaimanapun, sehingga kini saya masih belum jumpa gadis yang sesuai untuk menjadi teman hidup saya.

Adakah Zizan meletakkan sebarang kriteria tertentu untuk memilih calon isteri?

Biarpun saya pernah digosipkan bercinta dengan beberapa pelakon cantik, tidak semestinya kecantikan menjadi pilihan utama saya memilih seseorang gadis sebagai isteri.

Saya tidak kisah sangat tentang paras rupa kerana kriteria yang paling penting adalah keserasian. Selain itu, gadis berkenaan perlu menghormati keluarga dan memahami kerjaya saya.

Apakah perkembangan kerjaya terbaharu Zizan?

Buat masa ini, saya sedang menjalani penggambaran filem aksi komedi arahan Syafiq Yusof berjudul, Abang Long Fadil bergandingan dengan pelakon hebat seperti Aaron Aziz dan Soffi Jikan.

KOSMO! juga tidak ketinggalan menemubual ibu Zizan. Berikut sedutan temu ramah bersamanya.

Kosmo!: Bagaimanakah dengan harapan puan setelah melihat kejayaan Zizan sekarang?

ANAI: Sebagai ibu, sudah tentu saya sangat gembira dan berbangga dengan kejayaannya. Sebelum ini saya memang tidak menjangka sama sekali dia akan bergelar seorang artis.

Dengan kejayaannya itu, kini saya cuma amat berharap agar dia segera mendirikan rumah tangga. Tentang calon isteri pula saya serah semua kepada Zizan dan saya akan bersetuju dengan sesiapa sahaja pilihannya.

Adakah puan pernah mendesak Zizan supaya dia cepat-cepat berkahwin?

Saya tidaklah terlalu mendesaknya sangat, cuma saya ada bertanya bila lagi dia mahu berkahwin. Namun begitu, dia cuma menjelaskan mahu memberi tumpuan kepada kerjaya terlebih dulu.

Apakah pandangan puan terhadap hubungan Zizan dan Juliana Evans?

Setahu saya mereka berdua tidak lebih daripada teman biasa, malah Zizan menyatakan bahawa Juliana merupakan seorang teman yang baik.


sumber: kosmo online




AERIL ZAFREL DI LAMAR HOLLYWOOD

Kuala Lumpur: Aktor kacak Aeril Zafrel mengesahkan desas-desus pembabitannya sebagai pelakon utama dalam sebuah filem Hollywood di samping aktres handalan, Christina Ricci dan Sharon Stone.
Bercakap kepada RAP semalam, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, 26, berkata, gambar aksinya dengan Ricci itu dipetik daripada satu video muzik lagu tema filem berkenaan yang masih lagi dalam pembikinan.
Mengulas lanjut, Aeril berkata, muzik video itu akan ditayangkan di saluran MTV tidak lama lagi sebagai promosi awal filem romantik itu yang menjalani penggambaran di London, England.
“Saya akui memang benar pelakon lelaki di samping Christina (Ricci) dalam gambar itu diri saya. Ia satu babak daripada video muzik lagu tema untuk filem terbabit yang masih belum ada judul rasmi. Penggambaran video muzik itu dirakamkan pada awal tahun ini.


AERIL bersama Christina dalam muzik video sebagai promosi awal filem yang dibintangi mereka.
“Pembikinan filem itu masih berlangsung di London namun tidak banyak boleh saya perkatakan di sini kerana saya terikat dengan perjanjian dengan pihak produser,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini.
sumber: Harian Metro


BILA PARLIMEN AKAN BUBAR??




KUALA LUMPUR - Kebanyakan penganalisis politik melihat tanda-tanda untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir dengan Parlimen dijangka dibubarkan menjelang akhir bulan ini.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Noor Sulastry Yurni Ahmad, tarikh paling sesuai ialah pada 26 Mac iaitu sehari sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan terbubar secara automatik.

"Ramai pengkaji politik turut mengatakan perkara yang sama. Jika pilihan raya ditangguhkan lebih lama, ia boleh memberi kesan dari segi peratusan pengundian selain pelbagai isu yang mungkin dibangkitkan pembangkang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Perlembagaan, Pilihan Raya Umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.

Noor Sulastry berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan membubarkan Parlimen apabila Barisan Nasional (BN) sudah bersedia dengan manifesto dan senarai calon.

"Saya percaya ramai yang bersiap sedia untuk berita pembubaran Parlimen selepas sekian lama menunggu," ujarnya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Ahmad Atory Hussein pula meramalkan Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh seminggu akan datang.

"Saya berpendapat tarikh pilihan raya umum yang sesuai ialah pada 30 atau 31 Mac ini.

"Jadi berita pembubaran Parlimen ini mungkin berlaku dalam masa beberapa hari lagi," ujarnya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Samsul Adabi Mamat menyifatkan Malaysia kini memasuki fasa akhir sebelum Parlimen dibubarkan.

"Pada pandangan saya, selagi barisan calon tidak diputuskan, tanda-tanda pembubaran Parlimen masih belum nampak.

"Isu senarai calon ini akan jadi petunjuk kepada bila pilihan raya diadakan," katanya.

Sumber : Kosmo online



Tiada ulasan:

Catat Ulasan